PENGENALAN

Pada 10 Disember 2018, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah melancarkan Garis Panduan Tatacara Mencukupi bagi membantu organisasi komersial dalam industri menggunakan langkah asas bagi mengurangkan risiko rasuah. Garis panduan itu adalah seperti mana termaktub di bawah Subseksyen (5) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Garis panduan itu digubal bagi membantu pertubuhan komersial memahami ‘Tatacara Mencukupi’ untuk dilaksanakan bagi mencegah amalan rasuah. Penguatkuasaan Seksyen 17A yang telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020, diharapkan pertubuhan komersial sentiasa bersedia untuk mempersiapkan diri dengan kewajipan baharu ini yang akan membawa faedah berganda kepada keuntungan perniagaan.

Garis panduan ini dikeluarkan selaras dengan Subseksyen (5) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, sepertimana yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018. Objektif garis panduan ini adalah untuk membantu organisasi komersial memahami kaedah pelaksanaan tatacara mencukupi yang boleh dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan. Garis panduan ini diwujudkan berasaskan lima (5) prinsip utama yang boleh dijadikan asas rujukan oleh organisasi komersial untuk melaksanakan apa-apa polisi, prosedur dan langkah kawalan berkaitan antirasuah yang bersesuaian ke arah mencapai matlamat mempunyai tatacara mencukupi sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018 telah dikuatkuasakan pada 1hb Jun 2020, di mana peruntukan ini telah memperkenalkan konsep Liabiliti Korporat.  Berdasarkan konsep Liabiliti Korporat melalui Seksyen 17A Akta SPRM (Pindaan) 2018, sebuah organisasi komersial boleh dikenakan hukuman atas tindakan memberi atau menawarkan suapan oleh orang yang bersekutu demi kepentingan organisasi komersial tersebut.

Pada 19hb Mei 2021, Laporan Semakan Separuh Penggal Pelan Antirasuah Negara (NACP) telah dilancarkan di mana berdasarkan semakan semula pelan tersebut, terdapat beberapa inisiatif baharu yang diperkenalkan.  Salah satu daripada inisiatif baharu berikutan aktiviti semakan separuh penggal tersebut adalah pengenalan kepada inisiatif 6.2.4, dimana ianya di bawah Bidang Keutamaan: Tadbir Urus Korporat Strategi 6: Memupuk Tadbir Urus Baik Dalam Entiti Korporat. Manakala keutamaan ini juga memfokuskan kepada  Objektif Strategik 6.2: Memastikan Daya Tahan Terhadap Ancaman Rasuah di Entiti Korporat.

INISIATIF 6.2.4

Berdasarkan Inisiatif 6.2.4, IIM bersama agensi-agensi peneraju yang terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Agensi Persekutuan dan Agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan perlu mempromosi, membangun dan menyediakan latihan bagi pelaksanaan Tatacara Mencukupi selaras dengan Seksyen 17A (5) (Liabiliti Korporat) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) oleh organisasi komersial.

PESERTA KURSUS

Kursus Latihan Tatacara Mencukupi dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 ini ditawarkan kepada pihak pengurusan semua sektor perniagaan yang termasuk di bawah takrifan organisasi komersial seperti entiti-entiti berikut;

Syarikat yang dipertubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016

Syarikat asing yang menjalankan perniagaan di Malaysia

Perkongsian dan perkongsian liabiliti terhad yang dipertubuhkan di bawah Akta Perkongsian 20 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2010

Perkongsian dan Perkongsian Liabiliti Terhad asing yang menjalankan perniagaan di Malaysia

Modul latihan ini juga disasarkan kepada peserta berikut (tetapi tidak terhad kepada):

Ahli-ahli Lembaga Pengarah

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif

Ketua Pegawai Pematuhan, Risiko & Integriti

Pengurusan Kanan Organisasi

Pegawai Undang-undang